Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu membenarkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan baik dan sejahtera. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua.
Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa setiap individu boleh menguasai matematik. Guru juga perlu sentiasa mendorong pelajar untuk meminati dan mempelajari matematik.
Disamping guru, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.
No comments:
Post a Comment