Friday 6 April 2012

Isu-isu berkaitan Perguruan (Penempatan Guru)

1) PENEMPATAN GURU

Permasalahan berkenaan isu penempatan guru sering diperkatakan dan ianya berkait rapat dalam usaha untuk mencapai akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.(RIFAAT, 2010). Soalnya, adakah menjadi satu masalah jika guru perempuan lebih ramai daripada guru lelaki? Salah satu isu hangat yang diperbincangkan adalah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar bandar khususnya di pedalaman dan pulau. 


Isu ini juga mendapat perhatian daripada Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, beliau menyatakan "Penempatan guru lelaki lebih mudah berbanding perempuan terutama kawasan pedalaman yang membabitkan soal keselamatan” (AMIR, 2010). Tambahan pula penempatan guru menjadi lebih sukar apabila terdapat rungutan dari guru-guru yang ditawarkan ke kawasan luar bandar. Kebanyakan mereka sukar menerima tawaran tersebut kerana faktor kedudukan sekolah yang jauh dan kemudahan yang terhad, malah ada yang sanggup memilih untuk menganggur daripada dihantar bertugas di bahagian pedalaman.
 
Apabila guru-guru terlalu memilih dan tidak mahu mengalah dalam soal penempatan maka akibatnya akan timbul permasalahan dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen sebenar. Secara tidak langsung wujudnya “bidan terjun” di mana guru bukan opsyen terpaksa mengajar bagi memenuhi keperluan pelajar. Guru yang mengajar tidak mengikut opsyen akan menyebabkan akses dan ekuiti dalam pendidikan menjadi tidak berjaya. 


Tambahan pula jika ianya melibatkan subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Guru bukan opsyen mempunyai pengetahuan yang agak terbatas dan tidak mampu menyampaikan ilmu tersebut secara menyeluruh. 


Selain itu, akan timbul pula isu guru bukan opsyen gagal untuk menjawab pertanyaan murid atau sentiasa menangguh untuk menjawab soalan. Akibatnya, murid merasa kurang berkeyakinan terhadap guru tersebut dan sekali gus menghilangkan minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan. Ini selaras dengan pendapat Johdi (2007) yang menyatakan jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-muird berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat mereka untuk belajar.

No comments:

Post a Comment