Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Penerapan nilai menjadi agenda utama kurikulum pendidikan Malaysia, khususnya di sekolah menengah.Setiap guru memiliki set nilai tertentu, yang boleh mempengaruhi persediaan dan pelaksanaan pengajarannya.
Dalam membuat persediaan pengajaran, seseorang guru akan cuba merancang apakah nilai yang akan terterap dalam pengajaran bilik darjah (Mohd Uzi, 2007). Bishop (1988) telah mengenal pasti tiga pasangan nilai matematik yang saling melengkapi iaitu; ‘rasionalisme’ dan ‘objektisme’, ‘kawalan’ dan ‘kemajuan’, serta ‘keterbukaan’ dan ‘misteri’. Contohnya, apabila guru meminta pelajar menjelaskan atau membandingkan antara tiga cara membuktikan Teorem Pythagoras, adalah berkait dengan nilai matematik rasionalisme dan keterbukaan.
Bagaimanapun, saling interaksi antara guru dengan pelajar, disamping ahli dalam budaya, seperti pentadbir sekolah, kurikulum dan ibu bapa, mungkin boleh mempengaruhi penerapan nilai pengajaran guru matematik dalam bilik darjah. Nilai dalam pengajaran guru matematik adalah merupakan kecenderungan seseorang guru matematik tentang bagaimana sepatutnya atau tidak sepatutnya mereka bertindak atau kecenderungan seseorang guru matematik melakukan sesuatu perkara dalam proses pengajaran di bilik darjah. Jadi, amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah.
Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik.
Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mula menyediakan pentaksiran alternatif dan mengkaji semula sistem penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan.
Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Konsep pentaksiran mula disediakan pada tahun 2006, kemudian pentaksiran alternatif pula terlaksana pada tahun 2010.
Melalui pelaksanaan pentaksiran alternatif maka terhasillah sistem penilaian pada tahun itu juga. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.
Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.
Al-Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang yang lain, namun dalam konteks ini interaksi antara guru Matematik dan pelajar amatlah penting bagi mencapai proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan sempurna.
Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara tersebut ialah :
“Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlan kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati”. (Al-Isra’: 28)
“Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”. (Al-‘Imran : 159)
“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya…” (An-Nahl : 125)
Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik. Penggunaan yang kasar dan kesat hanya akan membantutkan motivasi pelajar bagi mendalami ilmu Matematik dengan sebaiknya.
Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Contohnya, guru menyediakan soalan bagi penyelesaian masalah Matematik dan sekiranya pelajar dapat menjawab dengan betul maka cubalah untuk memberi penghargaan atas usaha pelajar tersebut manakala pelajar yang tidak dapat menjawab dengan betul janganlah kita mengkritik mereka dengan kata-kata kesat seperti ‘lembab’ atau kata-kata lain yang menyakitkan hati. Kita boleh memberi nasihat supaya dia lebih berusaha lagi untuk menyelesaikan masalah Matematik tersebut atau meminta pelajar itu memperbanyakkan latihan bagi menguasai subjek Matematik.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012.
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Oleh itu, isu bahasa buat masa sekarang mungkin tidak diambil kira lagi memandangkan kerajaan sudah memberi ‘green light’ kepada para pengajar mengajar dalam bahasa ibunda.
Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya. “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.
Menurut Ab. Rahman (1992), antara aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan adalah guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.
Pengajaran di sekolah kini adalah lebih berfokus kepada pelajar yang mempunyai kebolehan sederhana dan pandai. Oleh itu, tidak hairanlah guru hanya banyak memberikan tumpuan kepada para pelajar ini dan mengabaikan pelajar yang berpencapaian rendah.
Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah, memberikan peluang kepada semua pelajar untuk menjawab soalan sukar dan soalan peringkat pemikiran tinggi, memberikan maklum balas yang berinformasi terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah, menerima idea mereka daripada semua murid dan menghargai idea mereka sebagai sesuatu yang berguna, berinteraksi dengan pelajar pencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana dilakukan terhadap pelajar yang lain dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah.
Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.
Dari sudut kreativiti guru pula, seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, proses ini melibatkan latihan sempurna bagi menghasilkan pengajaran yang menarik sekaligus menambah keyakinan seseorang guru (Abd.Ghafar,2003).
Justeru, beliau menyifatkan guru sebagai seorang seniman yang berfungsi sebagai seorang pelakon dengan menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai bagi memenuhi kesempurnaan proses pengajaran yang dilaksanakan. Sehubungan itu, fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.
Bagi tujuan tersebut kajian berhubung isu proses pengajaran Matematik perlu diperhalusi agar ia menjanjikan hak semua individu mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik melalui pendidikan sama rata.
Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996).
Oleh itu, sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya.
Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Menurut Dunn dan Dunn (1978), elemen-elemen yang mempengaruhi gaya pembelajaran adalah seperti Persekitaran, Emosional, Sosiologi, Fizikal dan Psikologi. Model ini digunapakai sebagai panduan kajian dalam mengesan gaya pelajar ‘undergraduate’ di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dapatan kajian menunjukkan gaya pembelajaran kategori Emosional lebih dominan berbanding dengan kategori yang lain dengan nilai min yang tertinggi. Dari segi kategori emosional, orientasi gaya belajar pelajar lebih kepada mementingkan mendapat markah yang tinggi atau gred yang baik.
Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera... Blog ini dibina untuk memenuhi tugasan kursus SME 6044 - ISU KONTEMPORARI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK dan akan diselia oleh Prof. Dr. Marzita Puteh. Kami berharap perkongsian ilmu daripada blog ini dapat di ulas atau diberi cadangan bagi menambah baik. Terima kasih kerana sudi melawat dan jangan lupa untuk menjadi 'follower'.
Ri sme 6044
View more documents from Nur Hayati.
Akses ekuiti
View more PowerPoint from yatt87
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment