Tuesday 10 April 2012

Kesimpulan

Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu membenarkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan baik dan sejahtera. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua. 


Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa setiap individu boleh menguasai matematik. Guru juga perlu sentiasa mendorong pelajar untuk meminati dan mempelajari matematik. 


Disamping guru, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.

Monday 9 April 2012

Cadangan terhadap isu-isu

Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Penerapan nilai menjadi agenda utama kurikulum pendidikan Malaysia, khususnya di sekolah menengah.Setiap guru memiliki set nilai tertentu, yang boleh mempengaruhi persediaan dan pelaksanaan pengajarannya.

Dalam membuat persediaan pengajaran, seseorang guru akan cuba merancang apakah nilai yang akan terterap dalam pengajaran bilik darjah (Mohd Uzi, 2007). Bishop (1988) telah mengenal pasti tiga pasangan nilai matematik yang saling melengkapi iaitu; ‘rasionalisme’ dan ‘objektisme’, ‘kawalan’ dan ‘kemajuan’, serta ‘keterbukaan’ dan ‘misteri’. Contohnya, apabila guru meminta pelajar menjelaskan atau membandingkan antara tiga cara membuktikan Teorem Pythagoras, adalah berkait dengan nilai matematik rasionalisme dan keterbukaan.

 Bagaimanapun, saling interaksi antara guru dengan pelajar, disamping ahli dalam budaya, seperti pentadbir sekolah, kurikulum dan ibu bapa, mungkin boleh mempengaruhi penerapan nilai pengajaran guru matematik dalam bilik darjah. Nilai dalam pengajaran guru matematik adalah merupakan kecenderungan seseorang guru matematik tentang bagaimana sepatutnya atau tidak sepatutnya mereka bertindak atau kecenderungan seseorang guru matematik melakukan sesuatu perkara dalam proses pengajaran di bilik darjah. Jadi, amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah.

Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik.
Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mula menyediakan pentaksiran alternatif dan mengkaji semula sistem penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan.

Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Konsep pentaksiran mula disediakan pada tahun 2006, kemudian pentaksiran alternatif pula terlaksana pada tahun 2010.

Melalui pelaksanaan pentaksiran alternatif maka terhasillah sistem penilaian pada tahun itu juga. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.

Al-Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang yang lain, namun dalam konteks ini interaksi antara guru Matematik dan pelajar amatlah penting bagi mencapai proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan sempurna.

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara tersebut ialah :

“Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlan kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati”. (Al-Isra’: 28)

“Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”. (Al-‘Imran : 159)

“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya…” (An-Nahl : 125)

Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik. Penggunaan yang kasar dan kesat hanya akan membantutkan motivasi pelajar bagi mendalami ilmu Matematik dengan sebaiknya.

Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Contohnya, guru menyediakan soalan bagi penyelesaian masalah Matematik dan sekiranya pelajar dapat menjawab dengan betul maka cubalah untuk memberi penghargaan atas usaha pelajar tersebut manakala pelajar yang tidak dapat menjawab dengan betul janganlah kita mengkritik mereka dengan kata-kata kesat seperti ‘lembab’ atau kata-kata lain yang menyakitkan hati. Kita boleh memberi nasihat supaya dia lebih berusaha lagi untuk menyelesaikan masalah Matematik tersebut atau meminta pelajar itu memperbanyakkan latihan bagi menguasai subjek Matematik.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Oleh itu, isu bahasa buat masa sekarang mungkin tidak diambil kira lagi memandangkan kerajaan sudah memberi ‘green light’ kepada para pengajar mengajar dalam bahasa ibunda.

Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya. “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.

Menurut Ab. Rahman (1992), antara aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan adalah guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.

Pengajaran di sekolah kini adalah lebih berfokus kepada pelajar yang mempunyai kebolehan sederhana dan pandai. Oleh itu, tidak hairanlah guru hanya banyak memberikan tumpuan kepada para pelajar ini dan mengabaikan pelajar yang berpencapaian rendah.

Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah, memberikan peluang kepada semua pelajar untuk menjawab soalan sukar dan soalan peringkat pemikiran tinggi, memberikan maklum balas yang berinformasi terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah, menerima idea mereka daripada semua murid dan menghargai idea mereka sebagai sesuatu yang berguna, berinteraksi dengan pelajar pencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana dilakukan terhadap pelajar yang lain dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah.
Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.

Dari sudut kreativiti guru pula, seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, proses ini melibatkan latihan sempurna bagi menghasilkan pengajaran yang menarik sekaligus menambah keyakinan seseorang guru (Abd.Ghafar,2003).

Justeru, beliau menyifatkan guru sebagai seorang seniman yang berfungsi sebagai seorang pelakon dengan menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai bagi memenuhi kesempurnaan proses pengajaran yang dilaksanakan. Sehubungan itu, fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.

 Bagi tujuan tersebut kajian berhubung isu proses pengajaran Matematik perlu diperhalusi agar ia menjanjikan hak semua individu mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik melalui pendidikan sama rata.

Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996).

Oleh itu, sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya.

 Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Menurut Dunn dan Dunn (1978), elemen-elemen yang mempengaruhi gaya pembelajaran adalah seperti Persekitaran, Emosional, Sosiologi, Fizikal dan Psikologi. Model ini digunapakai sebagai panduan kajian dalam mengesan gaya pelajar ‘undergraduate’ di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dapatan kajian menunjukkan gaya pembelajaran kategori Emosional lebih dominan berbanding dengan kategori yang lain dengan nilai min yang tertinggi. Dari segi kategori emosional, orientasi gaya belajar pelajar lebih kepada mementingkan mendapat markah yang tinggi atau gred yang baik.

Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Psikologi Pelajar)

8) PSIKOLOGI PELAJAR


Pada peringkat umur 12-20 tahun pelajar akan berada pada tahap identiti lawan kekeliruan peranan. Pada tahap ini remaja akan cuba berusaha mewujudkan identity dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Mereka juga mula memikir diri mereka sebagai bakal teman hidup, ibu bapa dan ahli masyarakat. Sekiranya usaha mencari identiti diri ini gagal, mereka akan mula meragui peranan dan fungsi mereka dalam masyarakat (Ramlah Jantan dan Mahani Razali,2004). 


Oleh itu, pelajar-pelajar akan berperang dengan emosi perkembangan mereka dalam masa yang sama untuk menerima pengajaran oleh guru. Pelajar-pelajar belajar hanya kerana mereka perlu hadir kesekolah pada usia ini. Keseluruhan mereka masih lagi samar dengan tujuan mereka belajar. Mereka belum mendapat gambaran kepentingan belajar dan tujuan mereka belajar. Mereka sendiri tidak mempunyai gambaran mengenai hala tuju masa depan mereka kerana masih belum memahami carta alir proses pembelajaran dan tiada pendedahan daripada pihak sekolah dan juga keluarga. 


Jika pelajar tidak kuat untuk bertarung dengan gelojak emosi yang dihadapinya, kebolehcapaiannya dalam matematik akan terganggu. Ini kerana mereka akan hanyut melayan perasaan seperti bercinta tanpa memberi tumpuan kepada proses pembelajaran di sekolah.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Latar Belakang Keluarga)

7)LATAR BELAKANG KELUARGA


Pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka dirumah. Pelajar juga tidak akan bermotivasi untuk belajar hingga cemerlang kerana persekitaranya hanya dikelilingi orang tidak berpelajaran tinggi. Pendapatan keluarga yang kurang juga akan menghalang kebolehcapaian pelajar terhadap mempelajari matematik. Pelajar yang tidak mampu untuk kesekolah akan terus tidak mempelajari matematik. 


Ada juga pelajar-pelajar ini ke sekolah, tetapi mereka tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan ataupun membeli buku rujukan. Oleh itu kebolehcapaian mereka terhadap mata pelajaran matematik tidak akan sama dengan pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan tinggi. Pembelajaran pelajar juga dipengaruhi oleh pendidikan keluarga. 


Sebagai contoh pelajar yang lahir dari keluarga seni akan lebih cenderung untuk mempelajari dengan mendalam mata pelajaran yang berkaitan seni. Pelajar ini akan kurang untuk dibimbing mempelajari mata pelajaran yang sedikit jauh dari bidang mereka seperti matematik.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Kecerdasan Logik-Matematik)

6) KECERDASAN LOGIK-MATEMATIK


Pelajar yang tidak mempunyai kecerdasan logik-matematik ataupun lebih dikenali sebagai pelajar otak kanan lebih cenderung untuk subjek-subjek seni seperti muzik dan lukisan. Melalui teori otak Triune, setiap individu akan lebih cenderung untuk menggunakan salah satu belahan otak yang dominan dan sebelah otak lagi akan berada dalam keadaan tenang. 


Oleh itu pelajar otak kanan akan menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang mana para pelajar perlu mengikuti peraturan yang diajar oleh guru walaupun mereka tidak memahami peraturan tersebut (Noraini Idris, 2005). Seterusnya pelajar-pelajar ini hanya akan menggunakan strategi yang diajar oleh guru sahaja tanpa memikirkan kaedah lain. 


Kesannya mereka tidak akan berkeupayaan tinggi dan cemas apabila berhadapan dengan soalan aplikasi. Oleh itu, pelajar otak kanan ini perlu diberi lebih bimbingan untuk memastikan kebolehcapaian mereka terhadap subjek matematik meningkat.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Pelajar Berpencapaian rendah)

5) PELAJAR BERPENCAPAIAN RENDAH


Guru-guru yang sibuk mengejar silibus secara realitinya akan meninggalkan pelajar yang lemah terus dibelakang. Pelajar-pelajar yang lemah ini dapat dikenalpasti melalui rekod prestasi mereka, pemerhatian guru ataupun melalui ujian. Pelajar lemah atau yang berpencapaian rendah ini menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian kepada langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. 


Mereka dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan satu langkah tetapi tidak dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan banyak langkah penyelesaian. Contohnya mereka dapat mencari nilai sudut jika hanya melibatkan nombor sahaja, tetapi jika nilai sudut itu diwakilkan dengan nilai seperti 2y 3y, pelajar ini tidak akan dapat untuk menyelesaikan masalah ini. 


Pelajar berpencapaian rendah juga mempunyai masalah untuk mengingati langkah penyelesaian dan mempunyai masalah 12
keupayaan visual-ruang, iaitu lemah untuk system garis lurus, garis nombor, menentukan arah dan mengagak jarak. Pelajar berpencapaian rendah akan menerima pendekatan P&P yang sama dengan pelajar normal lain. 


Oleh sebab itu, mereka akan terus lemah dalam matematik dan yang paling penting mereka juga akan lemah dalam kemahiran asas seperti pecahan dan peratus yang penting untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dan untuk kegunaan seharian.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Sistem Soalan Peperiksaan)

4) SISTEM SOALAN PEPERIKSAAN


Soalan peperiksaan ‘boleh dipilih’ menyebabkan pelajar hanya mempelajari topik-topik tertentu. Contohnya soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) matematik kertas 2 bahagian B, pelajar boleh memilih 4 soalan daripada 5 soalan yang diberikan. Setiap satu soalan itu mewakili satu bab. Oleh itu, pelajar akan mengambil langkah untuk hanya mempelajari 4 bab ini dan meninggalkan 1 bab daripada 5 soalan ini yang mereka anggap susah. Guru-guru juga ada yang hanya mengajar 4 bab ini sahaja daripada 5 soalan ini kerana mereka tidak sempat untuk menghabiskan silibus.


Guru-guru mengajar dengan lebih memfokuskan kepada peperiksaan, maka guru-guru ini akan mengambil langkah untuk mengajar apa yang perlu sahaja kerana guru-guru tiada masa untuk mengajar ‘lebih-lebih’. Pelajar juga akan meminta guru untuk mengajar apa yang perlu sahaja kerana mereka juga tiada masa dan minat untuk belajar ‘lebih-lebih’. Contohnya untuk nilai pi=3.142, guru akan meminta pelajar menghafal sahaja nilai ini tanpa memberitahu nilai ini sebenarnya merupakan nilai nisbah ukur lilit bulatan kepada diameternya.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Peluang belajar)

3) PELUANG BELAJAR


Menurut Noraini Idris (2005), sesetengah sekolah sebilangan besar pelajar sastera tingkatan 4 dan 5 tidak mempelajari matematik. Walaupun mata pelajaran ini mesti dipelajari seperti yang termaktub dalam peraturan sekolah iaitu 200 minit seminggu untuk pelajar sastera. 


Pihak sekolah beranggapan pelajar-pelajar sastera ini tidak akan lulus untuk matapelajaran matematik ataupun mereka tidak akan mendapat markah yang baik seterusnya akan menurunkan gred mata pelajaran matematik. Apabila kes ini berlaku, secara majoritinya pelajar bumiputera tidak akan berpeluang mempelajari matematik kerana majoritinya pelajar yang mengambil aliran sastera merupakan pelajar bumiputera. 


Pihak sekolah tidak sepatutnya tidak menyekat para pelajar untuk mempelajari matematik. Ini kerana jika kita lihat kembali kepada tokoh-tokoh ilmuan terdahulu seperti Al-Khawarizmi, walaupun dia merupakah pakar matematik tetapi dalam masa yang sama beliau juga merupakan pakar dalam bidang goegrafi dan astronomi.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Penghafalan sebelum kefahaman)

2) PENGHAFALAN SEBELUM KEFAHAMAN


Pelajar masa kini lebih senang menghafal jalan kerja tanpa memahami konsep terlebih dahulu. Oleh itu mereka tidak akan dapat menguasai keseluruhan topik, mereka juga akan mempunyai masalah jika diberikan soalan aplikasi, selain itu mereka tidak akan dapat menerangkan mengapa mereka menggunakan sesuatu langkah jalan kerja untuk menyelesaikan sesuatu soalan itu. 


Apabila pelajar-pelajar ini menghafal, mereka tidak akan dapat memberi anggaran untuk menyemak jawapan. Contohnya bagi topik janjang aritmetik, jika pelajar menghafal rumus bagi mencari sebutan ialah Tn=a+(n-1)d, maka jika sesuatu masa mereka terlupa rumus ini, mereka tidak akan dapat menjawab soalan untuk mencari nilai sebutan. Tetapi jika mereka memahami konsep, tanpa rumus sebutan ini mereka tetap dapat mencari nilai sebutan kerana setiap sebutan merupakan hasil tambah nilai sebutan sebelumnya dengan nilai d. 


Oleh itu, dapat dikatakan bahawa pelajar yang menghafal akan mempunyai kebolehcapaian yang terhad terhadap mata pelajaran matematik.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Pelajar kurang upaya)

1)PELAJAR KURANG UPAYA


Salah satu jenis masalah pembelajaran pelajar matematik ialah mempunyai masalah Diskalkulia. Diskalkulia ini merupakan masalah pembelajaran spesifik yang mempengaruhi pemerolehan atau pembelajaran kemahiran arithmetic (Wikipedia, 2008). 


Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ini sukar untuk memahami konsep nombor walaupun yang mudah, selain itu mereka juga sukar untuk mengingati simbol matematik seperti tambah, darab, tolak dan bahagi. Pelajar Diskalkulia juga tidak dapat membezakan nilai besar dan nilai kecil. 


Kebolehcapaian pelajar-pelajar Diskalkulia ini terhadap subjek matematik akan terus berkurangan kerana guru-guru tidak mengasingkan pelajar-pelajar ini daripada pelajar normal kerana guru-guru beranggapan pelajar-pelajar ini juga normal kerana mereka boleh mempelajari subjek vokasional dengan baik. 


Kos yang tinggi juga diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar kurang upaya (OKU). Contohnya gambarajah timbul dan mesin braile matematik untuk pelajar yang mempunyai kecacatan penglihatan. Pakar-pakar matematik lebih menumpukan kepada pelajar-pelajar normal. 


Pemerhatian daripada pakar kepada pelajar OKU sangat kurang, ini kerana pakar perlu memahami masalah dan sikap pelajar OKU itu sendiri jika mahu memberi tumpuan kepada proses P&P mereka. Walaupun secara realitinya pelajar-pelajar OKU ini lebih memerlukan pakar-pakar untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran matematik.

Isu-isu berkaitan Perguruan (Interaksi Sosial)

4) INTERAKSI SOSIAL


Pendidikan adalah lebih sinonim dengan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid-muridnya. Di dalam kelas, guru merupakan medium utama dalam mendidik pelajar untuk berjaya. Guru sering dianggap model kepada pelajar. Guru dijadikan contoh atau teladan yang baik bagi pelajar-pelajarnya. Namun begitu, apabila guru menunjukkan sikap negatif pada murid maka kepercayaan pelajar kepada guru akan menurun.


Sebagai contoh, penggunaan bahasa yang kasar dan kesat di dalam kelas hanya membuatkan pelajar berasa tidak selesa di dalam kelas sekaligus mengakibatkan pelajar hilang motivasi untuk menuntut ilmu. Selain itu, sikap guru yang garang serta suka menghukum juga boleh membantutkan minat pelajar untuk belajar apatah lagi untuk berinteraksi dengan guru bagi bertanyakan soalan yang kurang faham. Secara tidak langsung, situasi tersebut boleh menimbulkan masalah kebimbangan dikalangan pelajar untuk mempelajari matematik.


Tambahan pula, mata pelajaran matematik sering dianggap mata pelajaran yang membosankan dan kurang digemari dikalangan pelajar. Sehubungan itu, akan mengakibatkan kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan khususnya pendidikan matematik. Guru perlu sentiasa bersikap positif kepada pelaj-pelajar, dengan menggunakan percakapan-percakapan yang baik, budi pekerti yang halus dan lemah lembut, sehinnga terbukalah hati para pelajar untuk menerima ilmu guru dengan baik. Tutur kata atau arahan yang baik yang disampaikan secara teratur dan berkesinambungan juga dituntut dalam Islam, seperti firman Allah S.W.T.


Bermaksud: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangannya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.(Abdullah, 2003) Adalah lebih baik jika hukuman digantikan dengan kata-kata nasihat yang mana boleh mempertingkatkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Pemberian pengharagaan kepada usaha yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menyelesaikan masalah matematik khususnya juga merupakan teknik untuk meningkatkan motivasi pelajar.


Menurut Abuddin (2001), apabila terdapat di antara pelajar kita bersungguh-sungguh dalam pembelajarannya atau pelajar-pelajar yang cemerlang, sebaiknya guru memberikan hadiah di samping sumbangan kewangan secara percuma yang manfaatnya akan kembali kepada mereka sendiri. Ini adalah kerana pelajar-pelajar yang menerima hadiah itu akan merasa bangga, disamping mereka akan berusaha mengambil erti dalam pemberian itu. Dalam buku beliau turut disertakan hadis yang menyokong kenyataan beliau iaitu: “Berlumba-lumbalah dalam soal memberikan hadiah, sebab hadiah itu dapat menghilangkan keraguan dalam hati” (al-Turmuzi)

Isu-isu berkaitan Perguruan (Kemahiran Komunikasi)

3) KEMAHIRAN KOMUNIKASI


Kejayaan para pelajar dalam pembelajaran matematik mempunyai hubungan rapat dengan kebolehan dan keberkesanan pengajaran guru. Pengajaran yang berkesan memerlukan komunikasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya. Penggunaan bahasa yang sesuai di dalam kelas mampu mempertingkatkan kefahaman pelajar dengan lebih baik. Adalah menjadi perkara utama bagi setiap guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang pelajar agar pemilihan bahasa yang bakal digunakan dalam kelas dapat difahami oleh semua pelajar.


Sebagai contoh, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian pengajaran matematik adalah kurang sesuai jika pelajar di dalam kelas majoriti lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ini kerana dikhuatiri konsep di dalam ilmu matematik yang ingin disampaikan tidak sampai kepada pelajar. Maka sudah pasti berlaku kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Masalah kesilapan dalam penggunana bahasa telah terbukti apabila timbul isu kemerosotan prestasi pelajar berlaku ketika sepanjang perlaksanaan program PPSMI. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyatakan rumusan kajian yang mendapati PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu dan Bumiputera di luar Bandar harus dipandang serius memandangkan ia akan menjejaskan usaha kerajaan meramaikan kelompok itu dalam aliran sains bagi mengikuti kursus kritikal di Universiti. (Salbiah, 2009).


Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah. Katanya lagi, "Kualiti pendidikan menjadi lebih baik apabila murid-murid diajar dalam bahasa ibunda," (Utusan Malaysia, 2011). Masalah lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Friday 6 April 2012

Isu-isu berkaitan Perguruan (Tuntutan Tempat Kerja)

2) TUNTUTAN TEMPAT KERJA

Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) diwujudkan bagi menentukan kecemerlangan dan kenaikan pangkat penjawat awam. Usaha murni kerajaan ini adalah bertujuan mempertingkatkan prestasi dan motivasi pegawai. Markah LNPT tersebut akan dinilai oleh Ketua jabatan masing-masing. 


Namun begitu, salah satu isu yang hangat diperbincangkan ialah apabila Ketua Jabatan menetapkan markah LNPT bergantung dengan keputusan pembelajaran pelajar. Contohnya, jika peratus kelulusan pelajar di dalam pelajaran matematik tidak memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan, maka markah LNPT akan menjadi rendah. Apabila guru terikat dengan situasi tersebut, ada kemungkinan timbul pemasalahan di mana guru hanya memfokuskan pembelajaran ke atas tajuk-tajuk di dalam subjek matematik yang akan diuji dalam peperiksaan sahaja. 


Tambahan pula, soalan yang ditanya lebih menjurus persoalan teori berbanding persoalan kemahiran. Soalnya, adakah akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik tercapai jika pembelajaran hanya memfokuskan kepada peperiksaan?


Matematik merupakan satu mata pelajaran penting dalam kehidupan seharian yang meletakkannya sebagai satu mata pelajaran yang mesti diajar diepringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. (Abu Bakar et.al, 2007). Tambahan pula, matematik merupakan asas kepada bidang sains. 


Selaras dengan status dan pentingnya mata pelajaran matematik, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains dan bukan sains kepada nisbah 60:40 dengan harapan mampu mencapai sebuah negara maju seperti yang tercatat dalam Wawasan 2020. 


Namun begitu, hasrat kerajaan ini tidak akan tercapai jika gaya pengajaran guru hanya memfokuskan pembelajaran matematik berdasarkan penguasaan konsep atau memfokuskan pembelajaran sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Ini adalah kerana gaya pengajaran seperti ini tidak akan dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik mereka kelak.

Isu-isu berkaitan Perguruan (Penempatan Guru)

1) PENEMPATAN GURU

Permasalahan berkenaan isu penempatan guru sering diperkatakan dan ianya berkait rapat dalam usaha untuk mencapai akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.(RIFAAT, 2010). Soalnya, adakah menjadi satu masalah jika guru perempuan lebih ramai daripada guru lelaki? Salah satu isu hangat yang diperbincangkan adalah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar bandar khususnya di pedalaman dan pulau. 


Isu ini juga mendapat perhatian daripada Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, beliau menyatakan "Penempatan guru lelaki lebih mudah berbanding perempuan terutama kawasan pedalaman yang membabitkan soal keselamatan” (AMIR, 2010). Tambahan pula penempatan guru menjadi lebih sukar apabila terdapat rungutan dari guru-guru yang ditawarkan ke kawasan luar bandar. Kebanyakan mereka sukar menerima tawaran tersebut kerana faktor kedudukan sekolah yang jauh dan kemudahan yang terhad, malah ada yang sanggup memilih untuk menganggur daripada dihantar bertugas di bahagian pedalaman.
 
Apabila guru-guru terlalu memilih dan tidak mahu mengalah dalam soal penempatan maka akibatnya akan timbul permasalahan dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen sebenar. Secara tidak langsung wujudnya “bidan terjun” di mana guru bukan opsyen terpaksa mengajar bagi memenuhi keperluan pelajar. Guru yang mengajar tidak mengikut opsyen akan menyebabkan akses dan ekuiti dalam pendidikan menjadi tidak berjaya. 


Tambahan pula jika ianya melibatkan subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Guru bukan opsyen mempunyai pengetahuan yang agak terbatas dan tidak mampu menyampaikan ilmu tersebut secara menyeluruh. 


Selain itu, akan timbul pula isu guru bukan opsyen gagal untuk menjawab pertanyaan murid atau sentiasa menangguh untuk menjawab soalan. Akibatnya, murid merasa kurang berkeyakinan terhadap guru tersebut dan sekali gus menghilangkan minat untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan. Ini selaras dengan pendapat Johdi (2007) yang menyatakan jika halangan dan gangguan terhadap perkembangan murid-muird berlanjutan, situasi ini akan mengakibatkan perencatan dan pembunuhan minat mereka untuk belajar.

Akses dan Ekuiti dalam Pendidikan Matematik

AKSES EKUITI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Menurut Kamus Dewan edisi yang ke-4, akses bermaksud proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu data dan maklumat. Akses juga boleh didefinisikan sebagai capaian. Bagi ekuiti pula, ia bermaksud pemilikan yang sama rata dalam sesebuah organisasi atau saksama dan juga adil. Oleh itu, akses dan ekuiti dalam pendidikan bermaksud keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu untuk semua lapisan rakyat Malaysia. 

Dokumen Pembangunan Pendidikan 2001-2010 Kementerian Pelajaran Malaysia (PPKPM) yang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan salah satu elemen rujukan bagi mencorakkan dunia pendidikan pada masa depan bagi negara Malaysia. Pembangunan Pendidikan 2001-2010 juga bertujuan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK); meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar; meningkatkan budaya ilmu; membudayakan sains dan teknologi; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan, dan bertaraf dunia; menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta meningkatkan martabat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa. Rancangan ini disusun mengikut teras iaitu meningkatkan akses kepada pendidikan dan meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, meningkatkan kualiti pendidikan, dan meningkatkan tahap kecekapan serta keberkesanan pengurusan pendidikan. 

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) pula telah mengubal Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang komprehensif dan holistik bagi tujuan memartabatkan pengajian tinggi negara supaya menjadi satu bahagian dalam kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Pelan strategik ini telah menggariskan tujuh teras utama iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasakan institusi pengajian tinggi, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuhkan sistem penyampaian KPT.

Secara keseluruhannya, akses dan ekuiti berkait rapat antara satu sama lain dan amat penting dalam meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia. Ini dapat dibuktikan dalam pembentukan Pembangunan Pendidikan dan PSPTN, kedua-dua pelaksanaan ini mempunyai matlamat atau objektif yang sama iaitu dapat meluaskan akses dan meningkat ekuiti agar semua warganegara memperoleh peluang pendidikan berkualiti secara keseluruhannya. Agihan input pendidikan pula dibuat secara adil kepada semua institusi pendidikan bagi membolehkan semua pelajar menikmati pembelajaran sebenar pada tahap optimum. Pembangunan. Sistem pendidikan yang berkualiti dan berkesan dapat menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. 

Pendidikan matematik adalah pendidikan yang memberi penekanan kepada perkembangan pelajar secara menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap, psikomotor dan penerapan nilai-nilai murni untuk menjadikan rakyat berguna selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat pendidikan matematik pula adalah untuk membentuk individu yang berfikiran matematik, berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dengan berkesan, bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian hasil perkembangan sains dan teknologi. 

Seperti yang kita ketahui, matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang mana penggunaan matematik telah meliputi pelbagai jenis aktiviti. Kemajuan negara bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi, perkembangan perdagangan dan ekonomi yang berkait rapat dengan penggunaan matematik. (Mok Soon Sang, 1996). Justeru itu adalah penting sekiranya setiap pelajar diberikan peluang untuk menikmati pendidikan matematik yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu. Akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik didefinisikan sebagai hak semua individu mendapatkan pengetahuan matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan matematik melalui pendidikan sama rata. 

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik, dua elemen penting yang terlibat adalah guru dan juga pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik seharusnya melibatkan secara aktif antara guru dan pelajar supaya penyampaian guru dan penerimaan pelajar terhadap perkara yang dipelajari berjaya tanpa berlaku sebarang halangan. Namun begitu, sehingga kini ialah masih terdapat pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan akses dan ekuiti dalam pendidikan yang membawa kepada halangan atau cabaran dalam pendidikan matematik di institusi-institusi pengajian di Malaysia. Keadaan ini dinyatakan oleh Noraini Idris, (2005) dalam buku beliau, dalam proses P&P matematik, terdapat kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran.

Pengenalan tentang Akses dan Ekuiti

PENGENALAN

Sistem pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan salah satu usaha yang boleh membangunkan generasi bangsa yang akan menjulang nama negara pada masa akan datang selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk meningkatkan status negara Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara perindustrian yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dapat dilaksanakan melalui pembangunan sumber manusia yang lengkap, seimbang, bersepadu dan menyeluruh. (Ahmad Fauzi, 1997)


Ini bermakna, proses pembangunan sumber manusia seharusnya memastikan tidak terdapat mana-mana golongan di dalam negara kita yang tercicir atau diabaikan. 


Untuk mencapai matlamat pembangunan sumber manusia yang yang lengkap, seimbang, bersepadu dan menyeluruh, maka sistem pendidikan seharusnya berupaya menyediakan peluang yang secukupnya kepada semua lapisan masyarakat khususnya pelajar. 


Salah satu penumpuan penting yang perlu diberikan adalah memastikan pendidikan haruslah diberi sama rata kepada semua pelajar tanpa mengambil kira bangsa, etnik, budaya dan amalan atau cara hidup.