Monday, 9 April 2012

Isu-isu berkaitan Perguruan (Kemahiran Komunikasi)

3) KEMAHIRAN KOMUNIKASI


Kejayaan para pelajar dalam pembelajaran matematik mempunyai hubungan rapat dengan kebolehan dan keberkesanan pengajaran guru. Pengajaran yang berkesan memerlukan komunikasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya. Penggunaan bahasa yang sesuai di dalam kelas mampu mempertingkatkan kefahaman pelajar dengan lebih baik. Adalah menjadi perkara utama bagi setiap guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang pelajar agar pemilihan bahasa yang bakal digunakan dalam kelas dapat difahami oleh semua pelajar.


Sebagai contoh, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian pengajaran matematik adalah kurang sesuai jika pelajar di dalam kelas majoriti lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ini kerana dikhuatiri konsep di dalam ilmu matematik yang ingin disampaikan tidak sampai kepada pelajar. Maka sudah pasti berlaku kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Masalah kesilapan dalam penggunana bahasa telah terbukti apabila timbul isu kemerosotan prestasi pelajar berlaku ketika sepanjang perlaksanaan program PPSMI. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyatakan rumusan kajian yang mendapati PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu dan Bumiputera di luar Bandar harus dipandang serius memandangkan ia akan menjejaskan usaha kerajaan meramaikan kelompok itu dalam aliran sains bagi mengikuti kursus kritikal di Universiti. (Salbiah, 2009).


Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah. Katanya lagi, "Kualiti pendidikan menjadi lebih baik apabila murid-murid diajar dalam bahasa ibunda," (Utusan Malaysia, 2011). Masalah lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan baik.

No comments:

Post a Comment