Friday, 6 April 2012

Isu-isu berkaitan Perguruan (Tuntutan Tempat Kerja)

2) TUNTUTAN TEMPAT KERJA

Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) diwujudkan bagi menentukan kecemerlangan dan kenaikan pangkat penjawat awam. Usaha murni kerajaan ini adalah bertujuan mempertingkatkan prestasi dan motivasi pegawai. Markah LNPT tersebut akan dinilai oleh Ketua jabatan masing-masing. 


Namun begitu, salah satu isu yang hangat diperbincangkan ialah apabila Ketua Jabatan menetapkan markah LNPT bergantung dengan keputusan pembelajaran pelajar. Contohnya, jika peratus kelulusan pelajar di dalam pelajaran matematik tidak memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan, maka markah LNPT akan menjadi rendah. Apabila guru terikat dengan situasi tersebut, ada kemungkinan timbul pemasalahan di mana guru hanya memfokuskan pembelajaran ke atas tajuk-tajuk di dalam subjek matematik yang akan diuji dalam peperiksaan sahaja. 


Tambahan pula, soalan yang ditanya lebih menjurus persoalan teori berbanding persoalan kemahiran. Soalnya, adakah akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik tercapai jika pembelajaran hanya memfokuskan kepada peperiksaan?


Matematik merupakan satu mata pelajaran penting dalam kehidupan seharian yang meletakkannya sebagai satu mata pelajaran yang mesti diajar diepringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. (Abu Bakar et.al, 2007). Tambahan pula, matematik merupakan asas kepada bidang sains. 


Selaras dengan status dan pentingnya mata pelajaran matematik, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains dan bukan sains kepada nisbah 60:40 dengan harapan mampu mencapai sebuah negara maju seperti yang tercatat dalam Wawasan 2020. 


Namun begitu, hasrat kerajaan ini tidak akan tercapai jika gaya pengajaran guru hanya memfokuskan pembelajaran matematik berdasarkan penguasaan konsep atau memfokuskan pembelajaran sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Ini adalah kerana gaya pengajaran seperti ini tidak akan dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik mereka kelak.

No comments:

Post a Comment