Aplikasi E-LearnIng dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah malaysia : isu dan cadangan perlAksanaannya
http://eprints.utm.my/1517/1/wahyuyahya2006_aplikasie-learning.pdf
SINOPSIS
Artikel ini ditulis oleh Wahyu Idris dan Yahya Buntat menceritakan tentang aplikasi e-learning dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penulis memulakan bicara dengan mendefinisikan e-Learning. Menurut beliau e-Learning seringkali didefinisikan dengan pelbagai pengertian. Namun begitu beliau telah mendefinisikan e-Learning ataupun electronic learning sebagai sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN,WAN atau internet) untuk menyampaian isi kandungan, interaksi atau pemudahcaraan. Internet, Intranet, satelit, tape audio/ video, TV interaktif dan CD ROM adalah sebahagian media elektronik yang dimaksudkan. Penulis juga turut menceritakan perkembangan e-Learning di Malaysia yang dikatakan masih baru berbanding dengan negara Singapura. Menurut penulis lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan sektor swasta seperti MIMOS dan Kumpulan Utusan telah dipertanggungjawabkan untuk menjayakan agenda ‘e-learning’ kebangsaan. Penulis turut membezakan pembelajaran menggunakan e-Learning berbanding kaedah tradisional. Menurut penulis melalui e-Learning proses pembelajaran pelajar lebih selesa, fleksibel dan kurang tekanan.
Seterusnya, penulis menyatakan mengapa e-Learning perlu dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bagi menyokong penggunaan e-Learning, penulis turut menyenaraikan strategi-strategi yang boleh dirujuk untuk membolehkan e-Learning dilaksanakan di sekolah-sekolah. Walaubagaimanapun, penulis akur bahawa terdapat cabaran yang perlu dilalui dalam perlaksanaan e-Learning di sekolah-solah di Malaysia. Akses / Kos Pengendalian, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran, kos bahan / infrastruktur dan latihan tenaga pengajar adalah antara kekangan yang terpaksa dihadapi dalam memastikan perlaksanaan e-learning di sekolah-sekolah.
Bagi mengatasi masalah yang dihadapi, penulis mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian yang mungkin membantu dalam usaha pelaksanaan e-learning di sekolah-sekolah. Penulis mencadangkan agar bahan yang dihasilkan perlu penilaian yang rapi dan hendaklah dilaksanakan oleh pentadbir atau guru untuk mencari bahan yang sesuai yang dapat meningkatkan pembelajaran pelajar bagi mengelakkan kerugian atau mendapat bahan yang tidak bermutu serta tidak mencapai kehendak pembelajaran. Seterusnya bagi tujuan latihan untuk guru-guru, penulis mencadangkan ELMaS ialah satu Perisian Sistem Pengurusan Pembelajaran berasaskan web untuk latihan perguruan. Guru-guru didedahkan dengan pengajaran berasaskan ICT. E-learning berkaitrapat dengan kemudahan infrastruktur khususnya makmal computer disekolah. Oleh itu, penulis turut mencadangkan agar infrastruktur sekolah dinaiktaraf bagi memudahkan pelaksanaan e-learning di sekolah.
Penulis turut menyenaraikan sumber-sumber atau alternatif bahan e-learning untuk diadaptasikan di bilik darjah iaitu bahan-bahan percuma di internet, bahan yang dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama konsotium tempatan, Bahan yang dihasilkan oleh pihak swasta, CD ROM yang dihasilkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru. Tidak ketinggalan, penulis memberi cadangan yang boleh dilakukan oleh sekolah-sekolah yang mempunyai talian internet dan juga tanpa talian internet bagi tujuan memperoleh sumber bahan e-learning. bgi sekolah-sekolah
Di akhir penulisan, penulis menegaskan agar ‘e-learning’ diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia secepat mungkin supaya pihak sekolah tidak ketinggalan dalam arus ICT. Walaupun e-learning dicadangkan di sekolah, penulis turut menegaskan bahawa ‘e-learning’ yang dicadangkan hanya sebagai tambahan kepada semua sumber yang sedia ada di sekolah. Guru masih memainkan peranan dalam mendidik pelajar.
Ulasan dan Komentar:
Artikel ini menerangkan e-learning dan kepentingannya dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran dikalangan guru dan pelajar. Menurut penulis, pendidikan di Malaysia seharusnya tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan e-learning bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan seterusnya meningkatkan fahaman pelajar terhadap perkara yang dipelajari.
Bagi saya, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu dimanfaatkan dan digalakkan penggunaannya sebagai satu inovasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan e-learning merupakan salah satu cara bagaimana sector pendidikan mengaplikasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Saya setuju dengan cadangan penulis dengan penggunaan e-learning dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada tujuan pengajaran dan pembelajaran, secara tidak langsung ianya telah membantu mendedahkan pelajar dan guru dengan kemahiran teknologi maklumat yang semakin diperlukan dewasa ini. Melalui penggunaan ICT khususnya e-learning dalam pendidikan, guru dengan mudahnya dapat memberi gambaran perkara pengajaran dan meningkatkan memori pelajar. Selain itu, guru juga dapat menjelaskan arahan yang kompleks untuk pemahaman pelajar. Sesi pembelajaran juga secara interaktif dan menarik yang boleh membawa kepada minat pelajar untuk belajar.
Walaubagaimanapun saya akur bahawa dalam memastikan pelaksanaan e-learning di sekolah terdapat pelbagai kekangan yang perlu dihadapi. Infrastruktur seperti makmal dan komputer, talian internet, bekalan elektrik dan latihan yang diperlukan. Pihak-pihak yang berkenaan seharusnya mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam melaksanakan e-learning. Namun begitu, pihak sekolah juga haruslah bijak untuk menangani masalah yang mungkin timbul berkaitan penggunaan e-learning di sekolah. Ini adalah supaya tidak berlakunya sebarang jurang akses dan ekuiti khususya dalam ICT bagi pelajar dan guru sama ada di bandar, luar bandar dan juga pendalaman dalam menggunakan ICT bagi tujuan pendidikan. Ini selaras dengan teras Rancangan Pembanguan Pendidikan Negara iaitu meningkatkan akses kepada pendidikan dan memperluaskan ekuiti dalam pendidikan.
Pada pendapat saya, artikel ini mempunyai penyusunan ayat yang jelas dan mudah difahami selain daripada kekuatan isi kandungannya sesuai dibaca oleh semua. Dari segi isi kandungan pula, penulis memberi cadangan untuk membolehkan pelaksanaan e-learning dijalankan di sekolah. Saya juga bersetuju dengan cadangan sumber-sumber bahan e-learning yang boleh diperoleh oleh guru dan pihak sekolah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran selain daripada penyelesaian bagi isu pelaksanaan e-learning. Justeru itu, artikel ini sesuai dibaca oleh semua pihak khususnya mereka yang terlibat dengan pendidikan supaya bersama-sama memperoleh maklumat berkaitan e-learning di Malaysia.
No comments:
Post a Comment