Tuesday, 10 April 2012

Kesimpulan

Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu membenarkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan baik dan sejahtera. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua. 


Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa setiap individu boleh menguasai matematik. Guru juga perlu sentiasa mendorong pelajar untuk meminati dan mempelajari matematik. 


Disamping guru, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.

Monday, 9 April 2012

Cadangan terhadap isu-isu

Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Penerapan nilai menjadi agenda utama kurikulum pendidikan Malaysia, khususnya di sekolah menengah.Setiap guru memiliki set nilai tertentu, yang boleh mempengaruhi persediaan dan pelaksanaan pengajarannya.

Dalam membuat persediaan pengajaran, seseorang guru akan cuba merancang apakah nilai yang akan terterap dalam pengajaran bilik darjah (Mohd Uzi, 2007). Bishop (1988) telah mengenal pasti tiga pasangan nilai matematik yang saling melengkapi iaitu; ‘rasionalisme’ dan ‘objektisme’, ‘kawalan’ dan ‘kemajuan’, serta ‘keterbukaan’ dan ‘misteri’. Contohnya, apabila guru meminta pelajar menjelaskan atau membandingkan antara tiga cara membuktikan Teorem Pythagoras, adalah berkait dengan nilai matematik rasionalisme dan keterbukaan.

 Bagaimanapun, saling interaksi antara guru dengan pelajar, disamping ahli dalam budaya, seperti pentadbir sekolah, kurikulum dan ibu bapa, mungkin boleh mempengaruhi penerapan nilai pengajaran guru matematik dalam bilik darjah. Nilai dalam pengajaran guru matematik adalah merupakan kecenderungan seseorang guru matematik tentang bagaimana sepatutnya atau tidak sepatutnya mereka bertindak atau kecenderungan seseorang guru matematik melakukan sesuatu perkara dalam proses pengajaran di bilik darjah. Jadi, amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah.

Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik.
Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mula menyediakan pentaksiran alternatif dan mengkaji semula sistem penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan.

Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Konsep pentaksiran mula disediakan pada tahun 2006, kemudian pentaksiran alternatif pula terlaksana pada tahun 2010.

Melalui pelaksanaan pentaksiran alternatif maka terhasillah sistem penilaian pada tahun itu juga. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.

Al-Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang yang lain, namun dalam konteks ini interaksi antara guru Matematik dan pelajar amatlah penting bagi mencapai proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan sempurna.

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara tersebut ialah :

“Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlan kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati”. (Al-Isra’: 28)

“Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”. (Al-‘Imran : 159)

“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya…” (An-Nahl : 125)

Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik. Penggunaan yang kasar dan kesat hanya akan membantutkan motivasi pelajar bagi mendalami ilmu Matematik dengan sebaiknya.

Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Contohnya, guru menyediakan soalan bagi penyelesaian masalah Matematik dan sekiranya pelajar dapat menjawab dengan betul maka cubalah untuk memberi penghargaan atas usaha pelajar tersebut manakala pelajar yang tidak dapat menjawab dengan betul janganlah kita mengkritik mereka dengan kata-kata kesat seperti ‘lembab’ atau kata-kata lain yang menyakitkan hati. Kita boleh memberi nasihat supaya dia lebih berusaha lagi untuk menyelesaikan masalah Matematik tersebut atau meminta pelajar itu memperbanyakkan latihan bagi menguasai subjek Matematik.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Oleh itu, isu bahasa buat masa sekarang mungkin tidak diambil kira lagi memandangkan kerajaan sudah memberi ‘green light’ kepada para pengajar mengajar dalam bahasa ibunda.

Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya. “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.

Menurut Ab. Rahman (1992), antara aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan adalah guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.

Pengajaran di sekolah kini adalah lebih berfokus kepada pelajar yang mempunyai kebolehan sederhana dan pandai. Oleh itu, tidak hairanlah guru hanya banyak memberikan tumpuan kepada para pelajar ini dan mengabaikan pelajar yang berpencapaian rendah.

Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah, memberikan peluang kepada semua pelajar untuk menjawab soalan sukar dan soalan peringkat pemikiran tinggi, memberikan maklum balas yang berinformasi terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah, menerima idea mereka daripada semua murid dan menghargai idea mereka sebagai sesuatu yang berguna, berinteraksi dengan pelajar pencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana dilakukan terhadap pelajar yang lain dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah.
Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.

Dari sudut kreativiti guru pula, seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, proses ini melibatkan latihan sempurna bagi menghasilkan pengajaran yang menarik sekaligus menambah keyakinan seseorang guru (Abd.Ghafar,2003).

Justeru, beliau menyifatkan guru sebagai seorang seniman yang berfungsi sebagai seorang pelakon dengan menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai bagi memenuhi kesempurnaan proses pengajaran yang dilaksanakan. Sehubungan itu, fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.

 Bagi tujuan tersebut kajian berhubung isu proses pengajaran Matematik perlu diperhalusi agar ia menjanjikan hak semua individu mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik melalui pendidikan sama rata.

Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996).

Oleh itu, sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya.

 Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Menurut Dunn dan Dunn (1978), elemen-elemen yang mempengaruhi gaya pembelajaran adalah seperti Persekitaran, Emosional, Sosiologi, Fizikal dan Psikologi. Model ini digunapakai sebagai panduan kajian dalam mengesan gaya pelajar ‘undergraduate’ di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dapatan kajian menunjukkan gaya pembelajaran kategori Emosional lebih dominan berbanding dengan kategori yang lain dengan nilai min yang tertinggi. Dari segi kategori emosional, orientasi gaya belajar pelajar lebih kepada mementingkan mendapat markah yang tinggi atau gred yang baik.

Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Psikologi Pelajar)

8) PSIKOLOGI PELAJAR


Pada peringkat umur 12-20 tahun pelajar akan berada pada tahap identiti lawan kekeliruan peranan. Pada tahap ini remaja akan cuba berusaha mewujudkan identity dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Mereka juga mula memikir diri mereka sebagai bakal teman hidup, ibu bapa dan ahli masyarakat. Sekiranya usaha mencari identiti diri ini gagal, mereka akan mula meragui peranan dan fungsi mereka dalam masyarakat (Ramlah Jantan dan Mahani Razali,2004). 


Oleh itu, pelajar-pelajar akan berperang dengan emosi perkembangan mereka dalam masa yang sama untuk menerima pengajaran oleh guru. Pelajar-pelajar belajar hanya kerana mereka perlu hadir kesekolah pada usia ini. Keseluruhan mereka masih lagi samar dengan tujuan mereka belajar. Mereka belum mendapat gambaran kepentingan belajar dan tujuan mereka belajar. Mereka sendiri tidak mempunyai gambaran mengenai hala tuju masa depan mereka kerana masih belum memahami carta alir proses pembelajaran dan tiada pendedahan daripada pihak sekolah dan juga keluarga. 


Jika pelajar tidak kuat untuk bertarung dengan gelojak emosi yang dihadapinya, kebolehcapaiannya dalam matematik akan terganggu. Ini kerana mereka akan hanyut melayan perasaan seperti bercinta tanpa memberi tumpuan kepada proses pembelajaran di sekolah.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Latar Belakang Keluarga)

7)LATAR BELAKANG KELUARGA


Pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka dirumah. Pelajar juga tidak akan bermotivasi untuk belajar hingga cemerlang kerana persekitaranya hanya dikelilingi orang tidak berpelajaran tinggi. Pendapatan keluarga yang kurang juga akan menghalang kebolehcapaian pelajar terhadap mempelajari matematik. Pelajar yang tidak mampu untuk kesekolah akan terus tidak mempelajari matematik. 


Ada juga pelajar-pelajar ini ke sekolah, tetapi mereka tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan ataupun membeli buku rujukan. Oleh itu kebolehcapaian mereka terhadap mata pelajaran matematik tidak akan sama dengan pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan tinggi. Pembelajaran pelajar juga dipengaruhi oleh pendidikan keluarga. 


Sebagai contoh pelajar yang lahir dari keluarga seni akan lebih cenderung untuk mempelajari dengan mendalam mata pelajaran yang berkaitan seni. Pelajar ini akan kurang untuk dibimbing mempelajari mata pelajaran yang sedikit jauh dari bidang mereka seperti matematik.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Kecerdasan Logik-Matematik)

6) KECERDASAN LOGIK-MATEMATIK


Pelajar yang tidak mempunyai kecerdasan logik-matematik ataupun lebih dikenali sebagai pelajar otak kanan lebih cenderung untuk subjek-subjek seni seperti muzik dan lukisan. Melalui teori otak Triune, setiap individu akan lebih cenderung untuk menggunakan salah satu belahan otak yang dominan dan sebelah otak lagi akan berada dalam keadaan tenang. 


Oleh itu pelajar otak kanan akan menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang mana para pelajar perlu mengikuti peraturan yang diajar oleh guru walaupun mereka tidak memahami peraturan tersebut (Noraini Idris, 2005). Seterusnya pelajar-pelajar ini hanya akan menggunakan strategi yang diajar oleh guru sahaja tanpa memikirkan kaedah lain. 


Kesannya mereka tidak akan berkeupayaan tinggi dan cemas apabila berhadapan dengan soalan aplikasi. Oleh itu, pelajar otak kanan ini perlu diberi lebih bimbingan untuk memastikan kebolehcapaian mereka terhadap subjek matematik meningkat.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Pelajar Berpencapaian rendah)

5) PELAJAR BERPENCAPAIAN RENDAH


Guru-guru yang sibuk mengejar silibus secara realitinya akan meninggalkan pelajar yang lemah terus dibelakang. Pelajar-pelajar yang lemah ini dapat dikenalpasti melalui rekod prestasi mereka, pemerhatian guru ataupun melalui ujian. Pelajar lemah atau yang berpencapaian rendah ini menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian kepada langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. 


Mereka dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan satu langkah tetapi tidak dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan banyak langkah penyelesaian. Contohnya mereka dapat mencari nilai sudut jika hanya melibatkan nombor sahaja, tetapi jika nilai sudut itu diwakilkan dengan nilai seperti 2y 3y, pelajar ini tidak akan dapat untuk menyelesaikan masalah ini. 


Pelajar berpencapaian rendah juga mempunyai masalah untuk mengingati langkah penyelesaian dan mempunyai masalah 12
keupayaan visual-ruang, iaitu lemah untuk system garis lurus, garis nombor, menentukan arah dan mengagak jarak. Pelajar berpencapaian rendah akan menerima pendekatan P&P yang sama dengan pelajar normal lain. 


Oleh sebab itu, mereka akan terus lemah dalam matematik dan yang paling penting mereka juga akan lemah dalam kemahiran asas seperti pecahan dan peratus yang penting untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dan untuk kegunaan seharian.

Isu-isu berkaitan Pelajar (Sistem Soalan Peperiksaan)

4) SISTEM SOALAN PEPERIKSAAN


Soalan peperiksaan ‘boleh dipilih’ menyebabkan pelajar hanya mempelajari topik-topik tertentu. Contohnya soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) matematik kertas 2 bahagian B, pelajar boleh memilih 4 soalan daripada 5 soalan yang diberikan. Setiap satu soalan itu mewakili satu bab. Oleh itu, pelajar akan mengambil langkah untuk hanya mempelajari 4 bab ini dan meninggalkan 1 bab daripada 5 soalan ini yang mereka anggap susah. Guru-guru juga ada yang hanya mengajar 4 bab ini sahaja daripada 5 soalan ini kerana mereka tidak sempat untuk menghabiskan silibus.


Guru-guru mengajar dengan lebih memfokuskan kepada peperiksaan, maka guru-guru ini akan mengambil langkah untuk mengajar apa yang perlu sahaja kerana guru-guru tiada masa untuk mengajar ‘lebih-lebih’. Pelajar juga akan meminta guru untuk mengajar apa yang perlu sahaja kerana mereka juga tiada masa dan minat untuk belajar ‘lebih-lebih’. Contohnya untuk nilai pi=3.142, guru akan meminta pelajar menghafal sahaja nilai ini tanpa memberitahu nilai ini sebenarnya merupakan nilai nisbah ukur lilit bulatan kepada diameternya.