Tuesday 29 May 2012

Ulasan Artikel 1

Tajuk Rencana : Mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan
Penulis : Prof. Dr. Robiah Sidin-Institut Alam dan Tamadun Melayu(ATMA),UKM
Artikel : Isu Semasa - Portal Pendidikan Utusan 2001-2009, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur
Link : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.aspy=2001&dt=0629&pub=DuniaPendidikan&sec=Isu_Semasa&pg=gg_03.htm       




Sinopsis :

Artikel ini menceritakan tentang cara mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan. Penulis memulakan bicara dengan mengatakan masayarakat kerap berbicang tentang prestasi akademik serta perbezaan pencapaian terutama membandingkan pencapaian anatar golongan bandar dan luar bandar, perbandingan sosioekonomi dengan pencapaian serta perbandingan pencapaian anatara pelajar Melayu dengan bangsa lain.
Penulis menyatakan isu punca-punca kelemahan sentiasa dikupas dan dibincangkan dalam seminar, kongres, wacana dan rencana namun hingga kini masalah tersebut masih berterusan malah semakin menular dan menebal.  Penulis mendapati kebanyakan perbincangan adalah memfokuskan kepada apakah corak dan jenis masalah dan faktor yang menjadi punca. Namun hasil perbincangan tidak pula menekankan cara untuk mengatasi dan tidak menegaskan pihak yang bertanggungjawab. Penulis menyimpulkan bahawa tiada pihak yang hendak bertanggungjawab untuk menangani isu tersebut.
Lantaran itu, penulis telah mengemukakan cadangan bagi mengurangkan gaps atau situasi lompang yang terdapat. Memandangkan penulis adalah seorang pensyarah bidang pendidikan, maka beliau telah mencadangkan tindakan yang perlu diambil ialah menjurus kepada strategi mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah ataupun kuliah. Beliau telah membuat andaian bahawa kunci meningkatkan pencapaian akademik pelajar ialah menerusi pengajaran. Beliau menegaskan pengajaran bermutu mampu merubah prestasi pembelajaran seseorang pelajar.
Kemudian penulis menimbulkan  beberapa persoalan berkaitan dengan pola-pola pencapaian. Ini adalah kerana penulis percaya huraian mengenai konsep adalah sangat penting kerana segala perbincangan akan jelas dan menjurus. Penulis menayatakan kebiasaannya pengukuran pencapaian sesorang pelajar diukur dengan prestasi akademik namun bertentang dengan pendapat ahli penyelidik yang lain. Keupayaan dan kecergasan minda juga melibatkan bidang-bidang lain antaranya aplikasi logik dan matematik, muzik yang berkitan, kinetik atau gerak badan dan lain-lain. Namun sudah menjadi kebiasaan ukuran kejayaan tetap ke atas pencapaian akademik. Menurut penulis, ini berlaku kerana ukuran peperiksaan telah biasa dibuat dan lebih mudah untuk dinyata, direkod serta mudah untuk dibuat perbandingan. Andaian biasa yang dibuat, semakin tinggimarkah maka semakin baik pencapaian.
Penulis juga ada menyatakan, pola pencapaian luar bandar lebih rendah dari bandar serta melalui sumber-sumber yang diperolehi mengatakan hanya peperiksaan di peringkat rendah golongan Melayu mengatasi bukan Melayu. Manakala peringkat yang tinggi lebih dimonopoli oleh etnik bukan Melayu terutama dalam Bahasa Inggeris, matematik moden, matematik tamabahan, dan sains. Penulis telah mempersoalkan tentang perkara tersebut. Melalui perbincangan khusus, didapati terdapat bermacam-macam sebab dikemukakan anataranya faktor kemiskinan, susah berjumpa pendidik, masa terhad dan lain-lain. Penulis menyimpulkan punca lebih berfokuskan faktor luaran daripada diri sendiri.
Seterusnya penulis membicarakan beberapa stategi khusus menyentuh tentang proses mengajar belajar. Andaian utama dimulakan dengan sikap, persediaan, kelestarian dan displin pelajar. Sikap tersebut perlu diajar, dilentur dan diasah dengan pendekatan yang sesusai. Penulis menegaskan jikan pendidik bersungguh-sungguh mengajar disertai dengan kepekaan situsi maka pelajar Melayu lemah Insya-Allah dapat diatasi.
Seterusnya penulis menyatakan, hasil kejayaan adalah hasil daripada kombinasi pelbagai tindakan. Sikap prasangka dan gambaran streotaip dikalangan pentadbir, pendidik malahan ibu bapa terhadap pelajar yang bermasalah akan menyukarkan melaksanakan proses pemulihan kepada pelajar yang lemah. Penulis menegaskan semua pihak perlu bekerjasama membenteras masalah. Sebelum mengakhiri bicara, penulis telah menggariskan tiga strategi mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan. Strategi pertama ialah kurikulum yang ditawarkan mesti sesuai dengan pelajar. Stategi ini menekankan supaya guru perlu sensitif dan mampu mengatur pembelajaran mengikut keupayaan yang berbeza-beza dikalangan pelajarnya. Cuma perkara yang mengecewakan penulis, secara hakikatnya mengajar mengikut keupayaan yang berbeza-beza masih tidak luas diaplikasikan di bilik darjah.
Strategi kedua ialah memberi bantuan kepada pelajar yang lemah. Penulis mentakrifkan pelajar lemah merupakan pelajar yang ketinggalan dalam kemahiran 3M. Pada pendapat penulis, pelajar 3M mudah dikenalpasti, oleh itu, beberapa aktiviti latihan dan peneguhan perlu dijalankan bagi menguasai 3M. Penulis menyatakan, kini bimbingan dan peneguhan lebih tertumpu kepada sains dan matematik berbanding bahasa sedangkan bagi pandangan penulis penguasaan bahasa merupakan kunci untuk memebaca, menulis dan mengembangkan ilmu dan juga merupakan asas menguasai pengetahuan ilmu lain.
Stategi ketiga yang dicadangkan penulis ialah penempatan guru-guru di sekolah yang memerlukan bantuan. Menurut penulis Kajian telah menunjukkan guru yang dedikasi, cekap dan mahir mampu merubah prestasi pelajar namun apa yang berlaku ialah kebanyakan pelajar lemah diajar oleh guru-guru yang bukan terbaik. Tambahan pula, di kawasan luar banadar kebanyakan guru-guru mengajar tidak mengikut opsyen yang betul berbanding bandar yang dilaporkan mengalami kelebihan guru. Penulis telah mencadangkan agar amalan penempatan guru yang mengajar tidak menikut  opsyen di luar banadar perlu dipertimbangkan semula.
Di akhir bicara, penulis menegaskan agar perlaksanaan idea yang dicadangkan perlu di ambil tindakan. Langkah asas yang boleh dibuat ialah dengan menggubal amalan dan melaksanakan  kurikulum menggunakan teknik baru, pengurusan bilik darjah dan penempatan guru-guru terbaik di sekolah sekolah terutama di luar banadar dan kawasan pedalaman.

Ulasan dan Komentar:

Pada bahagian awal artikel ini, penulis menyentuh isu masyarakat yang kerap membincangkan tentang prestasi akademik oleh pelbagai pihak namun masalah tetap berterusan dan tiada pula pihak yang hendak bertanggungjawab. Kemudian penulis cuba mengemukakan beberapa langkah dan tindakan yang bermula dari strategi mengajar dan belajar. Penulis juga menegaskan setiap perubahan bermula dari sikap pelajar dan sikap itu perlu dipupuk dan diajar bersungguh-sungguh mengikut pendekatan yang sesuai disertai dengan kepekaan situasi masa depan. Penulis juga menayarankan semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani pelajar gagal dan bermasalah. Penulis telah menggariskan tiga strategi bagi mengatasi masalah-masalah tersebut. Stategi pertama ialah kurikulum yang ditawarkan mesti seuai dan mencabar pelajar, strategi kedua memberi bantuan kepada pelajar yang lemah dan strategi terakhir ialah penempatan guru-guru terbaik di sekolah yang memerlukan bantuan.
 Saya akur dengan pendapat dan cadangan penulis bahawa pada dasarnya kejayaan sesorang pelajar adalah bermula dari guru. Kenyataan ini disokong kajian yang telah dijalankan oleh Othman Bin Md. Johan dan  Rahmadhaniah Binti Abdul Majid (2008). Mereka telah menjalankan kajian mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar tahun Empat Perdana, Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sesi 2007/2008, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Dapatan kajian ini menunjukkan faktor pensyarah merupakan faktor yang paling tinggi dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.

Selain guru, saya juga bersetuju dengan penulis mengenai prestasi pelajar bukan sahaja terletak dibahu guru tetapi juga melibatkan pelbagai pihak terutama ibu bapa. Kenyataan ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Zulkifli dan rakan-rakannya mengenai penglibatan ibu bapa iaitu perbincangan, penjagaan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak di rumah hubungannya dengan pencapaian akademik pelajar miskin. Dapatan kajian mereka menunjukkan analisis regresi menunjukkan penglibatan ibu bapa memberi sumbangan 74.5% ke atas pencapaian akademik pelajar (Zuklkifli et al , 2011).

Pada pendapat saya, kekuatan artikel ini ialah penulis telah menggunakan penyusunan ayat yang jelas dan mudah difahami. Kekuatan isi kandungan pula, penulis telah cuba untuk memberi cadangan pendekatan untuk memperbaiki jurang yang wujud dalam pencapaian pendidikan. Jika dibandingkan dengan perbincangan yang dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini yang mana hasil perbincangan tidak pula menekankan cara untuk mengatasi dan tidak menegaskan pihak yang harus bertanggungjawab. Oleh itu, saya bersetuju jika strategi yang telah dikemukan oleh penulis dicuba dan dijalankan penyelidikan untuk melihat keberkesanannya.

Kelemahan artikel ini pula ialah penulis tidak meletakkan maklumat kajian yang dirujuk, nama pengkaji serta data-data empirikal untuk menyokong kenyataan penulis dalam artikel ini. Secara keseluruhan, artikel ini sesuai dibaca oleh setiap golongan seperti pendidik, pelajar, pentadbir serta ibu bapa supaya sama-sama mendapat informasi dan idea bagi merapatkan jurang perbezaan pencapaian pendidikan.

Rujukan

Othman Bin Md. Johan & Rahmadhaniah Binti Abdul Majid(2008). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pencapaian Akademik Pelajar Tahun 4 Perdana, Jabatan Pendidikan Teknikal Dan Kejuruteraan, Sesi 2007/2008, Fakulti Pendidikan UTM, Skudai. Johor:UTM.

Zulkifli Abd Hamid, Jamilah Othman, Aminah Ahmad, dan Ismi Arif Ismail (2011). Hubungan Antara Penglibatan Ibubapa dan Pencapaian Akademik Pelajar Miskin di negeri Selangor. Serdang, Selangor:UPM. Journal of Islamic and Arabic Education 3(2), 2011 31-40.


No comments:

Post a Comment