Wednesday, 16 May 2012

Isu Kekurangan Tenaga Pengajar

Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.







Isu Akses Pendidikan

Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.

Tuesday, 15 May 2012

Isu Ekuiti Pendidikan

Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).


Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.



Isu Struktur Pendidikan

Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:
  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
  • Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.

Friday, 11 May 2012

Tokoh Matematik Terdahulu



Al-Biruni (973-1050)



Nama sebenarnya ialah Abu Arrayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni. Beliau dilahirkan pada 15 September 973 di Kath, Khwarazm (sekarang dikenali sebagai Kara-Kalpakskaya, Uzbekistan) dan meninggal dunia pada 13 Dec 1048 di Ghazna (sekarang dikenali sebagai Ghazni, Afganistan). Al-Biruni merupakan ahli falsafah, ahli geografi, astronomi, fizik dan ahli matematik. Selama 600 tahun sebelum Galgeo, Al-Biruni telah membincangkan teori putaran bumi tanpa paksinya yang sendiri. Al-Biruni juga telah menggunakan kaedah Matematik untuk membolehkan arah kiblat ditentukan dari mana-mana tempat di dunia. Beliau juga adalah orang yang pertama menyatakan bahawa jejari bumi ialah 6339.6 km.


Al-Battani (850-929)

Al-Battani atau Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Abu Abdullah adalah bapa trigonometri dan dilahirkan di Battan, Damsyik. Beliau putera Arab dan juga pemerintah Syria.Al-Battani diiktiraf sebagai ahli astronomi dan matematik Islam yang tersohor.Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents.

Al-Khawarizmi (780 - 850)


Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi dan dikenali sebagai bapa algebra. Beliau pakar dalam bidang matematik dan astronomi. Antara buku-buku terkenal hasil tulisan beliau ialah Hisab Al-Jabr wal Mugabalah (Buku Pengiraan, Perbaikan dan Pengurangan) dan Algebra. Pada kurun ke-12, Gerard of Cremona dan Roberts of Chester telah menterjemahkan buku algebra Al-Khawarizmi ke dalam bahasa Latin. Terjemahan ini digunakan di seluruh dunia sehinggalah kurun ke-16.

Omar Khayyam (1048-1131)


Nama sebenarnya ialah Ghiyath al-Din Abul Fateh Omar Ibn Ibrahim al-Khayyam dan dilahirkan pada 18 Mei 1048 dan meninggal dunia pada 4 dec 1131. Khayyam sebenarnya bermaksud pembuat khemah. Sumbangan terbesar Omar Khayyam ialah dalam bidang Algebra. Beliau pernah membuat percubaan untuk mengklasifikasikan kebanyakan persamaan algebra termasuk persamaan darjah ke tiga. Malah beliau juga menawarkan beberapa penyelesaian untuk beberapa masalah algebra. Ini termasuklah penyelesaian geometrik bagi persamaan kiub dan sebahagian daripada penyelesaian kebanyakan persamaan lain. Bukunya `Mazalat fi al-Jabr wa al-Muqabila’ adalah karya agungnya dalam bidang algebra dan sangat penting dalam perkembangan algebra. Pengklasifikasian persamaan yang dilakukan oleh Omar Khayyam adalah berasaskan kerumitan sesuatu persamaan. Omar Khayyam telah mengenal pasti 13 jenis bentuk persamaan kiub. Kaedah penyelesaian persamaan yang digunakan oleh Omar Khayyam adalah bersifat geometrikal. Dalam bidang geometri pula, beliau banyak membuat kajian-kajian yang menjurus kepada pembentukan teori garisan selari. Beliau juga pernah diarahkan oleh Sultan Saljuq - Malikshah Jalal al-Din untuk bekerja di balai cerap. Di sana, beliau ditugas untuk menentukan kalendar solat yang tepat. Khayyam berjaya memperkenalkan kalendar yang hampir-hampir tepat dan dinamakan Al-Tarikh-al- Jalali.

Rene’ Descartes (1596-1650)


Beliau adalah pencipta bagi cabang matematik geometri koordinat. Menurut beliau, adalah mencukupi untuk melukis suatu garis lurus jika penjangnya diketahui. Graf dilukis pada paksi Cartesan mengandungi satu set pasangan tertib (x,y). Beliau dikatakan mendapat idea mengenai koordinat ketika beliau sedang terbaring dan memerhatikan seekor labah-labah pada siling biliknya.

Archimedes 287 – 212 sm


Dilahirkan pada 287 sebelum masihi dan meninggal pada tahun 212 sebelum masihi ketika perang, dibunuh oleh tentera Rom. Tentera Rom tidak mengetahui siapa sebenarnya. Beliau kemungkinan mendapat pendidikan di Alexandria, di sekolah Euklid. Egypt merupakan kota terbesar pada ketika itu. Beliau telah diajar mengenai kalkulus. Beliau juga dianggap sebagai “Bapa Kalkulus”. Pencapaian beliau yang terkenal ialah Hukum Hidrostatik Archimedes
  • Mencipta Takal
  • Skru Archimedes
  • Menemui pi 

Sir Isaac Newton (1642-1727)


Dilahirkan pada 1642 di sebuah keluarga petani di jajahan Lincoln, England. Semasa kecil beliau tidak dapat bermain permainan kasar kerana badannya tidak cukup kuat, maka beliau menghabiskan masa lapangnya dengan merekacipta berbagai permainan seperti lelayang bertanglung, roda yang dipusingkan oleh air, jam kayu dan jam matahari.
  • Pencapaian
  • Hukum Newton
  • Teorem binomial

Tuesday, 10 April 2012

Kesimpulan

Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu membenarkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan baik dan sejahtera. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua. 


Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa setiap individu boleh menguasai matematik. Guru juga perlu sentiasa mendorong pelajar untuk meminati dan mempelajari matematik. 


Disamping guru, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.

Monday, 9 April 2012

Cadangan terhadap isu-isu

Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Penerapan nilai menjadi agenda utama kurikulum pendidikan Malaysia, khususnya di sekolah menengah.Setiap guru memiliki set nilai tertentu, yang boleh mempengaruhi persediaan dan pelaksanaan pengajarannya.

Dalam membuat persediaan pengajaran, seseorang guru akan cuba merancang apakah nilai yang akan terterap dalam pengajaran bilik darjah (Mohd Uzi, 2007). Bishop (1988) telah mengenal pasti tiga pasangan nilai matematik yang saling melengkapi iaitu; ‘rasionalisme’ dan ‘objektisme’, ‘kawalan’ dan ‘kemajuan’, serta ‘keterbukaan’ dan ‘misteri’. Contohnya, apabila guru meminta pelajar menjelaskan atau membandingkan antara tiga cara membuktikan Teorem Pythagoras, adalah berkait dengan nilai matematik rasionalisme dan keterbukaan.

 Bagaimanapun, saling interaksi antara guru dengan pelajar, disamping ahli dalam budaya, seperti pentadbir sekolah, kurikulum dan ibu bapa, mungkin boleh mempengaruhi penerapan nilai pengajaran guru matematik dalam bilik darjah. Nilai dalam pengajaran guru matematik adalah merupakan kecenderungan seseorang guru matematik tentang bagaimana sepatutnya atau tidak sepatutnya mereka bertindak atau kecenderungan seseorang guru matematik melakukan sesuatu perkara dalam proses pengajaran di bilik darjah. Jadi, amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah.

Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik.
Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mula menyediakan pentaksiran alternatif dan mengkaji semula sistem penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan.

Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Konsep pentaksiran mula disediakan pada tahun 2006, kemudian pentaksiran alternatif pula terlaksana pada tahun 2010.

Melalui pelaksanaan pentaksiran alternatif maka terhasillah sistem penilaian pada tahun itu juga. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.

Al-Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang yang lain, namun dalam konteks ini interaksi antara guru Matematik dan pelajar amatlah penting bagi mencapai proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan sempurna.

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara tersebut ialah :

“Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlan kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati”. (Al-Isra’: 28)

“Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”. (Al-‘Imran : 159)

“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya…” (An-Nahl : 125)

Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik. Penggunaan yang kasar dan kesat hanya akan membantutkan motivasi pelajar bagi mendalami ilmu Matematik dengan sebaiknya.

Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Contohnya, guru menyediakan soalan bagi penyelesaian masalah Matematik dan sekiranya pelajar dapat menjawab dengan betul maka cubalah untuk memberi penghargaan atas usaha pelajar tersebut manakala pelajar yang tidak dapat menjawab dengan betul janganlah kita mengkritik mereka dengan kata-kata kesat seperti ‘lembab’ atau kata-kata lain yang menyakitkan hati. Kita boleh memberi nasihat supaya dia lebih berusaha lagi untuk menyelesaikan masalah Matematik tersebut atau meminta pelajar itu memperbanyakkan latihan bagi menguasai subjek Matematik.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Oleh itu, isu bahasa buat masa sekarang mungkin tidak diambil kira lagi memandangkan kerajaan sudah memberi ‘green light’ kepada para pengajar mengajar dalam bahasa ibunda.

Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya. “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.

Menurut Ab. Rahman (1992), antara aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan adalah guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.

Pengajaran di sekolah kini adalah lebih berfokus kepada pelajar yang mempunyai kebolehan sederhana dan pandai. Oleh itu, tidak hairanlah guru hanya banyak memberikan tumpuan kepada para pelajar ini dan mengabaikan pelajar yang berpencapaian rendah.

Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah, memberikan peluang kepada semua pelajar untuk menjawab soalan sukar dan soalan peringkat pemikiran tinggi, memberikan maklum balas yang berinformasi terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah, menerima idea mereka daripada semua murid dan menghargai idea mereka sebagai sesuatu yang berguna, berinteraksi dengan pelajar pencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana dilakukan terhadap pelajar yang lain dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah.
Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.

Dari sudut kreativiti guru pula, seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Oleh itu, proses ini melibatkan latihan sempurna bagi menghasilkan pengajaran yang menarik sekaligus menambah keyakinan seseorang guru (Abd.Ghafar,2003).

Justeru, beliau menyifatkan guru sebagai seorang seniman yang berfungsi sebagai seorang pelakon dengan menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai bagi memenuhi kesempurnaan proses pengajaran yang dilaksanakan. Sehubungan itu, fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.

 Bagi tujuan tersebut kajian berhubung isu proses pengajaran Matematik perlu diperhalusi agar ia menjanjikan hak semua individu mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik melalui pendidikan sama rata.

Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996).

Oleh itu, sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya.

 Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Menurut Dunn dan Dunn (1978), elemen-elemen yang mempengaruhi gaya pembelajaran adalah seperti Persekitaran, Emosional, Sosiologi, Fizikal dan Psikologi. Model ini digunapakai sebagai panduan kajian dalam mengesan gaya pelajar ‘undergraduate’ di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dapatan kajian menunjukkan gaya pembelajaran kategori Emosional lebih dominan berbanding dengan kategori yang lain dengan nilai min yang tertinggi. Dari segi kategori emosional, orientasi gaya belajar pelajar lebih kepada mementingkan mendapat markah yang tinggi atau gred yang baik.

Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.