Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Wednesday, 16 May 2012

Isu-isu lain dalam Sistem Pendidikan

Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
  • Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
  • Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
  • Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
  • Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
  • Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
  • Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
  • Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
  • Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.

Isu Kekurangan Tenaga Pengajar

Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.







Isu Akses Pendidikan

Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.

Tuesday, 15 May 2012

Isu Ekuiti Pendidikan

Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).


Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.



Isu Struktur Pendidikan

Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:
  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
  • Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.